HALAMAN UTAMA    WAWASAN    ORGANISASI     MIPR Portal    KERAJAAN BRUNEI    VERSI INGGERIS
 
   
 
 
 

 
 
PENDAHULUAN

Pertanian di Negara Brunei Darussalam pada awalnya adalah merupakan aktiviti ekonomi dan kebudayaan masyarakat kampung. Kini, sektor pertanian telah melalui proses transformasi ke arah pembangunan agribisnes yang dinamik dan berpandukan pasaran.

Dalam konteks tersebut, kegiatan pertanian yang bersifat tradisi perlu mengharungi peralihan kemodenan, supaya ianya dapat berkembang maju dengan berasaskan pengetahuan serta inovasi sains dan teknologi. Dengan itu, pertanian di negara ini akan berupaya meningkatkan pengeluaran, memperbaiki produktiviti dan kualiti hasil tempatan serta memperkukuhkan lagi daya saing bagi menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi pasaran serantau dan antarabangsa. Lantaran itu, pengeluaran pertanian bukan sahaja mengsasarkan pasaran tempatan, tetapi juga pasaran serantau dan antarabangsa.

Pembangunan pertanian moden sememangnya memerlukan dokongan institusi bagi meningkatkan tahap keupayaan pengeluaran sektor pertanian. Dalam hubungan ini, Jabatan Pertanian senantiasa berusaha memperbaiki prasarana pertanian bagi mendokong perkembangan sektor swasta. Bagaimanapun, kejayaan program pembangunan tersebut adalah bergantung kepada kerjasama yang erat di antara sektor awam dan sektor swasta. Oleh itu, adalah mustahak bagi sektor swasta tampil ke depan untuk merebut semua peluang yang dibawakan oleh arus pembangunan tersebut. Pada masa yang sama, kewujudan teknologi dan inovasi adalah penting untuk digunapakai ke arah mengangkat tahap pembangunan sektor agribisnes di Negara ini.

Tidak dinafikan semangat keusahawanan adalah penting dalam proses penerusan fasa perkembangan ekonomi pertanian. Tambahan pula dalam keadaan perkembangan sains dan teknologi yang begitu pesat, usahawan tempatan perlu menyiapkan diri dengan pengetahuan terkini demi meningkatkan keupayaan keusahawanan mereka. Justeru, usahawan tempatan disarankan supaya meningkatkan keupayaan keusahawanan masing-masing dan bertindak cergas menceburi pelbagai bidang agribisnes dalam ekonomi baru yang berasaskan pengetahuan.

 

 

WAWASAN
Ke Arah Dorongan Agribisnes yang Mampan dan Berpandukan Pasaran.